Kekal Bertenaga di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana terdapat banyak kebaikan untuk kesihatan dan juga meningkatkan amalan ibadat. Ia bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga, malah melatih seseorang untuk bersabar menghadapi dugaan. Berikut adalah antara cara-cara untuk menghadapi bulan puasa dengan lebih mudah dan sihat.
SPECIAL FEATURE

Minum air putih secukupnya

Pengambilan air kosong amat penting untuk mengekalkan tahap hidrasi dalam badan untuk kekal kuat dan cergas. Seseorang yang berpuasa perlu mengambil 6-8 gelas air pada waktu yang dibenarkan, contohnya meminum 2 gelas air pada waktu berbuka, 2-3 gelas sebelum tidur dan 2 gelas semasa sahur. Kandungan air yang banyak juga terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Elakkan untuk mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi, minuman berkarbonat dan manis kerana ia menggalakkan kehilangan air dari badan. Air juga membantu untuk proses penghadaman dan mengelakkan sembelit atau sakit perut.

Kurangkan pengambilan makanan yang pedas

Kebanyakan orang menggemari makanan pedas dan berempah. Walaupun ia sedap dan lazat, tetapi makanan pedas boleh mengakibatkan peningkatan suhu badan, menyebabkan sakit ulu hati atau gastrik dan ketidakselesaan akibat proses pencernaan yang tidak sempurna. Di bulan puasa, seeloknya tingkatkan pengambilan makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Lakukan senaman ringan dan ringkas

Berpuasa di bulan Ramadan memang memenatkan tetapi ia bukanlah alasan untuk anda tidak bersenam. Senaman ringan seperti regangan dan berjalan amat penting untuk kelancaran sistem penghadaman dan meningkatkan metabolisme anda. Waktu yang disarankan untuk aktiviti fizikal ialah sekurang-kurangnya 30 minit hingga satu jam sebelum atau selepas berbuka. Bagi warga tua, bercucuk tanam atau mengemaskan kawasan rumah boleh dilakukan semasa berpuasa asalkan ia tidak memudaratkan. Kanak-kanak boleh bermain di waktu petang, kerana ia hampir dengan waktu berbuka. 

Bersahur dengan makanan berkhasiat

Amalan bersahur seharusnya tidak ditinggalkan kerana pengambilan makanan yang sihat dapat membantu untuk menampung keperluan nutrisi ketika seharian berpuasa. Ibu bapa boleh membantu dengan bercerita tentang kepentingan bersahur, menggalakkan anak-anak supaya tidur lebih awal, menyediakan makanan panas dan bekhasiat untuk menarik minat mereka bersahur. Makanan berkuah atau sup ringkas juga boleh mengenyangkan, di samping mengandungi kandungan air yang tinggi untuk hidrasi sepanjang hari.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

You May Also Like: